telephone03 - 8000 8000 envelopepro[at]moha[dot]gov[dot]my

phone  03 - 8000 8000       
email  pro[at]moha[dot]gov[dot]my


FAQ Contact Us Complaints and Feedback Site Map

kdnfaqkdncontactuskdnfeedbackkdnmap

Perasmian dan Ucapan Hari Inovasi Kementerian Dalam Negeri

 

TEKS UCAPAN

YAB DATO SERI DR. AHMAD ZAHID HAMIDI

TIMBALAN PERDANA MENTERI

MERANGKAP MENTERI DALAM NEGERI

PERASMIAN DAN UCAPAN

HARI INOVASI KEMENTERIAN DALAM NEGERI

17 NOVEMBER 2015 / 09.30 PAGI

DEWAN AUDITORIUM, ARAS 5, BLOK D8, KOMPLEKS D

PUTRAJAYA

Salam Sejahtera dan Salam 1Malaysia

Terima kasih Saudara / Saudari Pengacara Majlis

SALUTASI

Yang Berhormat Datuk Nur Jazlan Mohamed

Timbalan Menteri Dalam Negeri l

Yang Berhormat Tuan Masir Anak Kujat

Timbalan Menteri Dalam Negeri ll

Yang Berbahagia Dato Sri Alwi Bin Haji Ibrahim

Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri

Yang Berbahagia Dato Seri/Dato-Dato TKSU-TKSU,

Ketua- ketua Jabatan KDN dan Agensi serta wakil

Setiausaha-Setiausaha Bahagian, Pegawai-Pegawai Kanan,

Yang dihormati dan diraikan Peserta-Peserta Kumpulan KIK dan Inovasi KDN 2015,

Tuan-tuan, Puan-puan, saudara-saudari warga kerja KDN serta;

Dan tidak dilupakan, rakan-rakan media sekalian.

1.Alhamdulillah, segala puji milik Allah Subhanahu Wataala. Selawat dan Kesejahteraan ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad Sallallu Alaihi Wassalam. Demikian jua ke atas ahli keluarga dan sahabat baginda, seterusnya ke atas para Tabiin dan para Ulama, semoga memperoleh Ihsan sehingga ke Hari Kebangkitan. Moga nur dan syafaat menaungi Perhimpunan Bulanan kita pagi ini.

2.Terlebih dahulu, sekali lagi saya majukan ucapan terima kasih saya kepada YBhg. Dato Sri KSU dan Pengurusan Tertinggi atas inisiatif menganjurkan perhimpunan ini bagi menyempurnakan Majlis Perhimpunan Bulanan dan Hari Anugerah KIK Dan Inovasi KDN 2015 yang bertemakan INOVASI PENERAJU TRANSFOMASI. Terima kasih jua kepada seniman-seniman KDN yang telah menghangatkan suasana dewan tadi.

3. Kesempatan pagi ini juga saya ambil untuk mengucapkan penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak yang telah menjayakan AMMTC, GPEC dan AMMD yang telah berlangsung dengan jayanya pada bulan lalu. Tidak saya lupakan untuk merakamkan ucapan penghargaan kepada seluruh ahli pasukan INDEKS SSR KDN yang telah bertungkus-lumus sejak bulan Mei lalu dalam memastikan KDN terus berada di carta terbaik penarafan bintang perkhidmatan awam.

Tuan-Tuan dan Puan-Puan Yang DiKasihi,

INOVASI PENERAJU TRANSFOMASI DAYAUSAHA MEMASTIKAN KDN SENTIASA MENDAHULUI

4.Saya mengucapkan terima kasih sekali lagi kepada seluruh warga KDN yang telah bersatu dalam menjayakan majlis pada hari ini. Saya sungguh bangga dan tidak menyangka KDN memiliki bakat-bakat kreativiti dan inovasi yang telah menunjukkan kebolehan yang sangat luar biasa pada tahun ini. Saya difahamkan sebanyak 500 peserta dan pemerhati terlibat sepanjang berlangsungnya konvensyen yang telah diadakan selama 5 hari ini yang bermula sejak 1 September 2015. Bagi kategori Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK), sebanyak 15 kategori teknikal dan 22 kategori pengurusan telah dipertandingkan, sementara dalam kategori inovasi, sebanyak 25 penyertaan telah diketengahkan dengan penyertaan yang melibatkan Kementerian dan semua Jabatan/Agensi di bawah KDN.

5.Majlis pada pagi ini pula merupakan kemuncak penghargaan dan pengiktirafan tertinggi kepada Bahagian, Jabatan dan Agensi di bawah KDN yang telah menunjukkan perkhidmatan cemerlang dalam memastikan sistem penyampaian perkhidmatan KDN, Jabatan dan Agensi sentiasa mencapai standard dan kualiti yang ditetapkan dalam memenuhi kehendak, ekspektasi dan sentuhan rakyat jelata khususnya pelanggan-pelanggan KDN, jabatan dan agensi.

6.Pada kesempatan pagi ini juga, saya merakamkan tahniah dan penghargaan kepada Bahagian, Jabatan dan Agensi KDN yang lain yang mungkin tidak terpilih kali ini, namun telah turut menyumbang dan berganding bahu dalam memberikan komitment perkhidmatan terbaik ke arah pencapaian matlamat yang sama. Sebenarnya, saudara-saudari juga merupakan sebahagian daripada pendokong kejayaan pencapaian 114% KPI saya setakat akhir Oktober 2015. Terima kasih saya ucapkan.

7.Pada hari ini pula kita berkesempatan meraikan kejayaan enam (6) pasukan terbaik bagi kategori KIK dan Inovasi KDN yang cemerlang untuk tahun 2015. Tahniah saya ucapkan, semoga penghargaan ini menjadi pendorong dalam usaha meneruskan kecemerlangan dalam bidang tugas masing-masing dengan lebih dinamik dan agresif.

8.Saya selalu mengingatkan saudara/saudari mengenai ungkapan ini. Kejayaan memang sukar dicapai, tetapi untuk mengekalkan kejayaan adalah jauh lebih sukar dan mencabar. Sebenarnya setiap kejayaan KDN, Jabatan dan Agensi di bawahnya amat bergantung pada seluruh warganya yang sentiasa peka dan bertindak dalam memastikan sejauh mana usaha-usaha kreativiti dan inovasi diteruskan selepas kita menikmati kejayaan demi kejayaan sejak tiga tahun lalu. Kita seharusnya tidak boleh membenarkan diri kita terjebak dengan perasaan selesa dan puas hati yang menguasai kita.

9. Untuk kita mengelak diri dari terperangkap dengan rasa puas hati, usaha-usaha adaptasi positif, kreativiti dan inovasi baru perlu di teruskan. Jadikanlah tabiat membaca sebagai suatu sumber ilham, selain dari jadi pemerhati yang cekap, penerima nasihat atau pendengar yang baik.

Hadirin dan Hadirat Sekalian.

INOVASI : ILHAM KERANA NIKMAT MENCIPTA

(i)SYLVAN GOLDMAN (1898-1984) MENCIPTA TROLI PERTAMA

10.Cuba kita bayangkan sekiranya jika di Pasar Raya Mydin, Tesco, Giant atau mana-mana Mall tidak tersedia dengan troli! Kita sebenarnya berterima kasih kepada Sylvan Goldman (1989-1984) seorang pendatang keturunan Latvia di Amerika Syarikat yang terilham mencipta troli setelah melihat wanita tua dan wanita bersama kanak-kanak menghadapi kesukaran menjinjing bakul barangan di premis peruncitan beliau. Ilham beliau tercetus kerana mahu sentuhan pelanggan melalui kemudahan, pembelian barang yang banyak oleh pengunjung, di samping meraih keuntungan berlipat ganda. Inilah yang menjadi awal mula bagaimana troli digunakan. Dan sehingga hari ini, troli digunakan dengan meluas di seluruh dunia.

11.Bertitik tolak dari kisah sejarah ini saya menyarankan kakitangan KDN dari from top to bottom pyramid pentadbiran kita harus menginovasi sistem perkhidmatan KDN yang lebih baik terhadap masyarakat dari semasa ke semasa. Jangan pasif untuk mencadangkan sesuatu idea dan sistem baharu 

Hadirin dan Hadirat Sekalian.

(ii) KEBIJAKSANAAN TANPA BATASAN.

12. Dalam hal mengekalkan kejayaan pula, kita sering kali lupa bahawa selain menumpukan kebolehan kita bercakap atau memberi pendapat, kita juga harus menjadi individu yang pandai menyoal serta menerima pandangan orang lain walau pun kita berkhidmat dalam sebuah kementerian, jabatan atau agensi yang memiliki kuasa. Seringkali sikap malu atau ego memungkinkan pengabaian kebijaksanaan kita untuk bertanya, yang akhirnya menyebabkan maklumat, kreativiti atau inovasi kita terhalang. Suatu contoh terbaik inovasi yang diadaptasi setelah melihat sesuatu lebih baik di luar industri sendiri ialah Mc Donalds drive through yang beroperasi buat pertama kalinya pada 24hb.Januari 1975 di Sierra Vista, Arizona. Sebenarnya, idea drive tru ini diadaptasikan oleh pengurusan Mc Donalds dari perkhidmatan perbankan yang dimulakan oleh Grand National Bank Of St.Louis, Missouri pada tahun 1930.

13. Untuk Kementerian terus unggul dan mendahului, saya juga bersetuju dengan saranan Howard Gardner (1983) dalam sebuah tulisan beliau, Theory of Multiple Intelligences bahawa setiap manusia memiliki kepelbagaian kebijaksanaan, selain dari kecerdasan IQ. Oleh yang demikian, saya ingin menyarankan supaya bahagian, jabatan dan agensi di bawah KDN dapat meluaskan skop kreativiti dan inovasi celik akal di luar persekitaran kerja operasi harian yang biasa dilakukan bagi menghasilkan kepelbagaian inovasi pada tahun hadapan. Skop idea kreativiti dan inovasi boleh diperluaskan dalam aspek pengiraan sesuatu, linguistik, ruang pejabat, muzik, interpersonal, mengawal diri dan personel, alam sekitar atau spiritual tanpa terikat kepada skop tugas yang diamalkan seharian agar potensi pelaksanaannya meluas signifikannya serta dapat memberi impak yang tinggi kepada Perkhidmatan Awam dan Negara.

Warga Kementerian Yang Dikasihi,

INISIATIF NBOS PERLU DITERUSKAN BAGI MENGEKALKAN KEGEMILANGAN KDN (W.Chan Kim, Renee Mauborgne, Blue Ocean Strategy, Harvard Business School 2005)

14.Seikhlasnya saya tetap percaya dan yakin bahawa Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) seharusnya sentiasa diamalkan oleh setiap dan antara Jabatan/Agensi di bawah KDN bagi memaksimumkan penggunaan sumber sedia ada dalam mengekalkan keselamatan dan kesejahteraan Negara. Strategi Lautan Biru pada hemat saya juga merupakan triggers kepada semua industri atau institusi termasuk KDN dalam inisiatif memperbaiki langkah-langkah, idea, perkhidmatan dan apa jua ciptaan yang tidak pernah wujud atau diamalkan sebelum ini selain daripada bertujuan untuk keluar daripada pemikiran silo.

15. Kunci kepada keberhasilan Inovasi atau kreativiti bertaraf tinggi amat bergantung kepada cara kita semua memandang rakyat, pelanggan atau klien dengan cara yang lebih luas dengan bergerak dari thinking outside the box (Berfikir di luar kotak) kepada thinking without the box (Berfikir tanpa kotak). Setiap seorang warga KDN seharusnya dipandang sebagai aset penting yang perlu diberi kefahaman tentang semua strategi baru agar KDN sentiasa di hadapan daripada kementerian-kementerian lain. Pengurusan Tinggi, Ketua Jabatan dan Agensi perlulah lebih bertanggungjawab untuk menjadikan strategi baru sebagai suatu keperluan sekiranya mahu minda inovasi dan kreativiti ini dilahirkan.

16. Bersempena dengan hari penganugerahan yang bersejarah ini, saya menyeru agar komitment, keyakinan dan sikap positif yang berterusan oleh semua pihak dalam meneruskan peranan KDN dalam strategi lautan biru ini yang telah pun bermula sejak 6 tahun lalu (2009).

Yang Berbahagia Tan Sri/Dato Seri/Dato-Dato, Tuan-Tuan Puan-Puan sekalian,

DEDUKSI

17. Di akhir ucapan ini, saya sekali lagi ingin mengingatkan seluruh warga KDN dari setiap peringkat supaya sentiasa berada pada tahap kesiapsiagaan bagi menghadapi sebarang kemungkinan yang berkait dengan keselamatan dan kesejahteraan negara. Kita perlu keluar daripada zon keselesaan kendiri dengan memberi penekanan kepada ketangkasan bekerja, ketepatan dan keberhasilan untuk memperbaiki mutu perkhidmatan dan menguatkuasakan undang-undang negara. Penghasilan kerja kita juga perlu berteraskan outcome dengan kesan yang signifikan, nilai tambah serta peningkatan secara berganda. Saya berharap, inovasi dan kreativiti akan sentiasa menjadi asas warga kerja KDN dalam mempertingkatkan lagi prestasi kerja, kualiti dan produktiviti.

18.Mudah-mudahan kita semua tabah dan KDN akan terus kekal menjadi sebuah kementerian yang sentiasa mendahului dan menjadi pemangkin dan harapan rakyat dalam keselamatan dan kesejahteraan awam.

Sekian.

 

 

AGENCIES & EXTERNAL LINKS


AGENCIES & EXTERNAL LINKS


alamat Setia Perkasa 1, 2, 7 & 9, Kompleks Setia Perkasa, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, 62546 Putrajaya
hubungi Tel: 03 8000 8000
Fax : 03-88891613 / 03-88891610
emel pro[at]moha[dot]gov[dot]my

Copyright Reserved © Ministry of Home Affairs
Best viewed using Mozilla Firefox 3, Internet Explorer 10
and Google Chrome with minimum resolution of 1366x768

fb3 update tweet update youtube insta

  • Latest Update : 20 December 2024.
Visitor Count : 1124097

moha qrcode