PUTRAJAYA, 31 Ogos- Seramai 40 orang Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) ditahan dalam serbuan Kota Serimas, Nilai, Negeri Sembilan dalam fasa satu, Ops 6P Bersepadu bermula pukul 12 tengah malam tadi sehingga pukul 6 pagi.
Operasi disertai seramai 150 anggota melibatkan Imigresen, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM).
Timbalan Pengarah Bahagian Penguatkuasaan Imigresen, K. Saravanan berkata, kesemua PATI yang ditahan itu adalah daripada 160 orang yang diperiksa dan merupakan warga Indonesia, Bangladesh, Nepal dan Myanmar.
ÔÇ£Hasil pemeriksaan, mereka didapati tiada dokumen pengenalan diri, disyaki menggunakan pas lawatan palsu dan tinggal melebihi tempoh ditetapkan.
ÔÇ£Kita dapati masih ada majikan ingkar arahan dengan menggaji PATI, justeru operasi ini adalah amaran keras buat mereka untuk berhenti berbuat demikian sebelum ditangkap,ÔÇØ katanya ketika ditemui selepas tamat operasi.
Menurut Saravanan, Ops 6P Bersepadu yang melibatkan 135,000 anggota pelbagai agensi di seluruh negara itu merupakan permulaan untuk mengesan saki baki PATI yang gagal menjalani proses pemutihan yang dijalankan kerajaan sebelum ini.
Kementerian Dalam Negeri (KDN) pada 23 Ogos lalu, mengumumkan akan melakukan operasi bersepadu besar-besaran untuk menangkap PATI yang bekerja tanpa permit di seluruh negara bermula 1 September.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, operasi melibatkan Imigresen, polis serta agensi lain di bawah kementerian itu akan memberi tumpuan kepada kawasan perladangan, kilang, perniagaan dan tapak pembinaan.
Ops 6P Bersepadu yang akan dijalankan menerusi beberapa fasa sehingga 31 Disember ini adalah bagi memburu 400,000 PATI selain 45,000 majikan yang masih berdegil menggaji golongan itu.