MELAKA, 23 Mei 2013 -  Bahagian Kepenjaraan, Antidadah Dan Pertahanan Awam telah menganjurkan Seminar Anggota Hakim Pelawat Penjara, Sekolah Henry Gurney / Pusat Pemulihan Akhlak bagi zon tengah dan selatan bermula pada 22 sehingga 24 Mei 2013 bertempat di Hotel Avilion Legacy Melaka yang melibatkan 95 orang peserta terdiri daripada NGO, orang awam dan juga pegawai penjara.
Seminar ini diadakan untuk memberikan pendedahan mengenai peranan, tugas dan tanggungjawab sebagai anggota Lembaga Hakim Pelawat Penjara / Sekolah Henry Gurney / Pusat Pemulihan Akhlak dan juga memastikan prestasi lawatan dan kualiti laporan yang disediakan dapat membantu meningkatkan imej Jabatan Penjara Malaysia.
DatoÔÇÖ Seri Abdul Rahim B. Mohamad Radzi, Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri telah menyampaikan surat perlantikan kepada anggota lembaga hakim pelawat yang merangkumi negeri Selangor, Negeri Sembilan, Johor dan juga Melaka bagi menghargai setiap anggota lembaga dan juga amanat kepada mereka dalam menjalankan tugas kelak. Para ahli lembaga ini akan dilantik mengikut negeri di mana mereka akan membuat tinjauan di setiap penjara termasuk pusat pemulihan akhlak setiap bulan.