Pekan, 5 November - Perlaksanaan program pencegahan perlu dilaksanakan dengan kerjasama daripada pelbagai pihak samaada agensi kerajaan mahupun pihak swasta serta badan-badan bukan kerajaan. Sehubungan dengan itu satu Karnival Perpaduan dan Antidadah telah dilaksanakan di Dewan Kampung FELCRA Sri Makmur pada 6hb Oktober yang lalu.
Program yang mendapat kerjasama di antara Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Daerah Pekan dan Persatuan Anak-anak FELCRA Kampung Sri Makmur (PAAPFs) telah dihadiri seramai 300 orang peserta dari komuniti setempat. Objektif program ini adalah untuk mendidik komuniti setempat di DUN Pulau Manis khususnya di Mukim Penyor berkenaan isu penyalahgunaan dadah serta kepentingan mengamalkan gaya hidup sihat.
Disamping itu, program ini turut merapatkan hubungan silaturrahim dan memupuk sikap bekerjasama dalam berpasukan. Antara aktiviti yang dijalankan adalah seperti Bicara Ilmu, Program Derma Darah, Sukaneka, Ceramah Antidadah, Kisah Benar, pameran dan lain-lain. Majlis perasmian penutup telah disempurnakan oleh YB Khairuddin bin Haji Mahmud selaku ADUN Pulau Manis.
-Tamat-