telephone03 - 8000 8000 envelopepro[at]moha[dot]gov[dot]my

phone  03 - 8000 8000       
email  pro[at]moha[dot]gov[dot]my


FAQ Contact Us Complaints and Feedback Site Map

kdnfaqkdncontactuskdnfeedbackkdnmap

SIDANG MEDIA BERKENAAN ISU PEMEGANG PASPORT BRITISH OVERSEAS CITIZEN (BOC)

PUTRAJAYA - Hanya tiga pemegang pasport Kerakyatan Luar Negara British (BOC) dari negara ini dibenarkan pulang sehingga kini, bukannya lebih 500 seperti yang dilaporkan media sebelum ini.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, mereka juga bukannya diberi taraf kewarganegaraan atau pemastautin tetap, sebaliknya hanya diberikan Pas Residen bagi membolehkan mereka berada di sini secara sah selaras dengan Peraturan 16A, Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

"Kerajaan Malaysia tidak akan memberikan taraf kewarganegaraan secara automatik. Ini kerana ada di kalangan mereka yang telah mengoyakkan pasport Malaysia ketika berada di luar negara dengan hasrat benci kepada negara ini dan tidak lagi mahu pulang kerana kebencian itu dan ada yang 'menikam' negara ini dari belakang. Tidak ada lagi taat setia di kalangan mereka.

"Sekiranya pemegang Pas Residen ini ingin mendapatkan kembali taraf kewarganegaraan, mereka perlu melalui proses sebagaimana warganegara asing yang mahu memohon dan mereka perlu menunggu 17 tahun dan membuktikan bahawa mereka taat setia kepada negara dan memenuhi syarat permohonan termasuk ujian kemahiran dalam Bahasa Melayu," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Media sebelum ini melaporkan kenyataan anggota Parlimen Tanjung dari DAP Ng Wei Aik yang mendakwa kerajaan bersetuju untuk membawa pulang lebih 500 bekas rakyat Malaysia yang melepaskan kewarganegaraan mereka untuk menjadi warganegara United Kingdom (UK).

Pemegang pasport BOC merupakan warganegara Malaysia yang memilih untuk melepaskan taraf kewarganegaraan bagi memohon sebagai warganegara UK.

Bagaimanapun mengikut British Nationality Act 1981 (BNA 1981) yang dipinda pada 4 Julai 2002, mereka hanya akan diberikan kewarganegaraan UK jika mereka telah melepaskan atau dilucutkan kewarganegaraan Malaysia pada atau sebelum 4 Julai 2002.

Ahmad Zahid berkata Pas Residen hanya merupakan kebenaran yang diberikan kepada warganegara asing untuk tinggal di Malaysia untuk tempoh lima tahun dan boleh memohon untuk disambung setiap lima tahun.

Beliau berkata ia perlu dimohon semasa berada di UK melalui Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di London, dan hanya akan berlepas ke Malaysia setelah permohonan mereka diteliti dan diluluskan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).

"Pas Residen akan ditampal dalam pasport BOC mereka sebaik tiba di pintu masuk dan sebelum mereka melangkah keluar dari terminal. Satu kaunter khas disediakan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bagi memudahkan mereka melapor diri.

"Penyediaan kaunter khas ini memudahkan pihak JIM mengesan pemegang pasport BOC dan mengelakkan mereka masuk ke dalam negara tanpa pas yang sah bagi memastikan mereka tidak melanggar undang-undang Imigresen dan menghadapi risiko ditahan kerana tidak memiliki suatu pas yang sah," katanya.

 

AGENCIES & EXTERNAL LINKS


AGENCIES & EXTERNAL LINKS


alamat Setia Perkasa 1, 2, 7 & 9, Kompleks Setia Perkasa, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, 62546 Putrajaya
hubungi Tel: 03 8000 8000
Fax : 03-88891613 / 03-88891610
emel pro[at]moha[dot]gov[dot]my

Copyright Reserved © Ministry of Home Affairs
Best viewed using Mozilla Firefox 3, Internet Explorer 10
and Google Chrome with minimum resolution of 1366x768

fb3 update tweet update youtube insta

  • Latest Update : 15 July 2024.
Visitor Count : 1106236

moha qrcode