KENYATAAN MEDIA
JABATAN IMIGRESEN MALAYSIA
8 MAC 2016
OPS IKRAR (SERKAP) JABATAN IMIGRESEN MALAYSIA MENUMPASKAN SATU RANGKAIAN SINDIKET PEMALSUAN PASPORT MALAYSIA ANTARABANGSA (PMA)
YANG DIDALANGI WARGA ASING.
Jabatan Imigresen Malaysia telah berjaya menumpaskan satu rangkaian sindiket pemalsuan Pasport Malaysia Antarabangsa (PMA) pada 06 Mac 2016 di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Bertindak atas maklumat pemantauan dan hasil risikan Unit Inteligen, sepasukan Pegawai Imigresen dari Bahagian Penguatkuasa Putrajaya bersama-sama Ketua Kumpulan bertugas telah melakukan pemeriksaan dokumen di sekitar bangunan Satelite KLIA.
Hasil pemeriksaan yang dijalankan telah mengesan dua (02) suspek lelaki warganegara Sri Lanka yang dijangka akan berlepas ke Amsterdam, Belanda dengan menaiki pesawat KLM Royal Dutch Airlines. Kedua-dua suspek terbabit mengemukakan dokumen Pasport Malaysia Antarabangsa yang disyaki palsu. Pemeriksaan lanjut turut menemui dua (02) naskah pasport Sri Lanka sebenar kepunyaan masing-masing.
Kedua-dua suspek terbabit ditahan kerana telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002) kerana tinggal lebih masa atas pasport Sri Lanka dan Seksyen 56(1)(I) Akta Imigresen 1959/1963(Pindaan 2002) kerana menggunakan atau tanpa kuasa yang sah memiliki Dokumen Perjalanan atau Perakuan yang dipinda atau dipalsukan. Kedua-dua suspek juga turut disiasat mengikut Seksyen 12(1)(f) Akta Pasport 1966 (Akta 150) kerana memiliki pasport orang lain selain dirinya tanpa kuasa yang sah.
Susulan hasil maklumat dan risikan juga telah membawa kepada penahanan dua (02) lagi suspek yang disyaki warganegara Sri Lanka dipercayai bertindak sebagai agen dalam rangkaian sindiket di Aras 5, KLIA. Kedua-dua suspek tersebut ditahan kerana disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/1963 (Pindaan 2002) kerana tidak memiliki dokumen yang sah. Kedua-dua suspek turut disiasat di bawah Seksyen 56(1A)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002) kerana disyaki bersubahat dengan rangkaian sindiket.
Jabatan Imigresen Malaysia juga yakin dengan penahanan empat (04) suspek yang disyaki warganegara Sri Lanka ini akan membuka jalan kepada usaha mengesan dalang sebenar sindiket pemalsuan Pasport Malaysia Antarabangsa dan seterusnya membanteras aktiviti jenayah rentas sempadan.
#Tamat#
Dato’ Sakib bin Kusmi
Ketua Pengarah
Jabatan Imigresen Malaysia