Setia Perkasa 1, 2, 7 & 9, Kompleks Setia Perkasa, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, 62546 Putrajaya Malaysia.
Tel: 03-8000 8000
Lembaga Parol
Penubuhan Lembaga Parol
Lembaga Parol ditubuhkan di bawah Seksyen 46(B) Akta Penjara 1995 terdiri daripada anggota yang berikut yang dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong:
seorang Pengerusi, daripada kalangan anggota Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan;
seorang pegawai kanan penjara;
seorang pegawai kanan polis;
seorang pegawai kanan kebajikan; dan
tiga orang awam
Kuasa Lembaga Parol
Menurut Seksyen 46(C)(1), Akta Penjara 1995, sesuatu Lembaga Parol mempunyai kuasa berikut:
untuk membuat keputusan sama ada untuk melepaskan secara parol seseorang banduan yang memohon parol;
untuk menggantung atau membatalkan sesuatu Perintah Parol;
untuk menambah apa-apa syarat atau mengubah mana-mana syarat sesuatu Perintah Parol;
untuk mengadakan suatu siasatan berkenaan dengan apa-apa perkara yang berkaitan dengan parol;
untuk memeriksa mana-mana banduan bagi maksud untuk mendapatkan maklumat tambahan berkaitan dengan sesuatu permohonan parol atau bagi apa-apa sebab lain yang difikirkan patut oleh Lembaga Parol; dan
untuk menjalankan dan melaksanakan apa-apa fungsi dan tugas lain sebagaimana yang ditentukan oleh Menteri.
Kriteria Umum Pemilihan / Pelantikan Anggota Lembaga Parol (Awam)
Kriteria umum bagi pemilihan / pelantikan sebagai Anggota Lembaga Parol (Awam) adalah seperti berikut:
Warganegara Malaysia;
Tidak mencapai umur 62 tahun (bagi calon pesara Kerajaan) / tidak melebihi umur 60 tahun (bagi calon bukan pesara Kerajaan) pada tahun memohon;
Bersara atas jawatan sekurang-kurangnya gred 12 atau setaraf (bagi calon pesara Kerajaan) / Ijazah Sarjana Muda atau Sarjana atau Doktor Falsafah dan berpengalaman kerja sekurang-kurangnya 5 tahun dalam bidang berkaitan (bagi calon bukan pesara Kerajaan);
Mempunyai penguasaan Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris yang baik;
Mempunyai kemahiran asas komputer;
Mempunyai tahap kesihatan yang baik;
Tidak pernah dikenakan tindakan tatatertib dan disabitkan mahkamah atas apa-apa kesalahan;
Tidak muflis; dan
Berpengalaman dalam bidang keselamatan / ketenteraman awam / pemulihan / sosial / kaunseling / psikologi / keagamaan / pendidikan / penguatkuasaan / lain-lain bidang bersesuaian.
Sebarang pertanyaan berhubung permohonan sebagai Anggota Lembaga Parol boleh dirujuk terus kepada Bahagian Urus Setia Lembaga Parol di sini.