Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) ditubuhkan pada 1 April 2013 di Lahad Datu, Sabah lanjutan daripada insiden pencerobohan (incursion) anasir asing dari negara Filipina di Kampung Tanduo, Lahad Datu dan serangan hendap pengganas terhadap pasukan keselamatan di Kampung Sri Jaya Simunul, Semporna yang mengorbankan seramai 10 orang wira negara pada 1 dan 2 Mac 2013.
ESSCOM dipertanggungjawabkan sebagai peneraju keselamatan dalam mengkoordinasikan operasi kawalan sempadan daratan dan maritim di 10 daerah dalam Zon Selamat Sabah Timur atau Eastern Sabah Safety Zone (ESS Zone) iaitu Kudat, Kota Marudu, Pitas, Beluran, Sandakan, Kinabatangan, Lahad Datu, Kunak, Semporna dan Tawau.
Struktur organisasi agensi ini menggabungkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) serta Jabatan Perkhidmatan Awam Persekutuan yang terdiri daripada 187 perjawatan pegawai, anggota dan staf yang berpengalaman dalam kluster pertahanan, keselamatan, penguatkuasaan dan hal ehwal awam.
Bagi melaksanakan amanah dan tanggungjawab yang disandarkan oleh negara dan rakyat, ESSCOM terus mempertahankan integriti wilayah dan kedaulatan negara selain memastikan keselamatan, ketenteraman awam dan kesejahteraan rakyat dalam keadaan baik dan terkawal melalui koordinasi operasi secara bersepadu dengan pasukan keselamatan serta Jabatan/ agensi penguatkuasaan Persekutuan dan Negeri Sabah di ESS Zone.