Sistem Parol merujuk kepada pelepasan secara perintah parol yang melayakkan banduan menjalankan baki hukuman di luar penjara. Pelepasan secara perintah parol adalah melalui syarat-syarat yang berdasarkan kepada Akta Penjara (Pindaan) 2008. Sistem Parol di Malaysia mula dikuatkuasakan pada 30 Jun 2008 berasaskan daripada Sistem Parol Australia di mana Lembaga Parol akan mempertimbangkan permohonan parol banduan.
Selaras dengan Seksyen 46E (1), seorang banduan layak dipertimbangkan pelepasan secara parol tertakluk kepada kesalahan di luar Jadual Keempat dan hukuman minima satu tahun pemenjaraan. Banduan yang dipertimbangkan pelepasan secara perintah parol akan ditempatkan bersama keluarga, rumah perantaraan seliaan Jabatan Penjara atau di bawah program Corporate Smart Intership for Parolee (CSI). Semenjak dilaksanakan sehingga 31 Disember 2022, sebanyak 55,619 (66%) permohonan telah dipertimbangkan pelepasan secara perintah parol.
Banduan yang ingin membuat permohonan pelepasan secara parol hendaklan melalui proses pelepasan secara parol yang telah ditetapkan seperti berikut:
Banduan telah menjalani seperdua daripada hukuman pemenjaraan dan program permulihan yang ditetapakan oleh penjara;
Permohonan pelepasan secara parol banduan disyorkan oleh Ibu Pejabat Penjara Malaysia (IPPM);
Permohonan pelepasan secara parol banduan dipertimbangkan oleh Lembaga Parol;
Jika permohonan banduan dipertimbangkan, perintah parol akan dikeluarkan dengan syarat-syarat yang ditetapkan oleh Lembaga Parol; dan
ODP menjalankan baki hukuman secara parol sehingga dibebaskan.
Pelaksanaan Sistem Parol Malaysia bertujuan melicinkan proses pengintegrasian semula banduan ke dalam masyarakat, memberi peluang kepada banduan membina hidup baru yang berkualiti, mengurangkan kesesakan di dalam penjara dan mengurangkan kos penyelenggaraan tinggi yang ditanggung oleh kerajaan.