LEADERSHIP FAIR
BOL@KDN>
YBHG. DATO’ SRI ALWI BIN HJ. IBRAHIM
KETUA SETIAUSAHA
KEMENTERIAN DALAM NEGERI
DEWAN GEMILANG
28 FEBRUARI 2017
BISMILLAHIRRAHMANIRRAHIM
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam Sejahtera, Salam 1Malaysia dan Salam Sehati Sejiwa.
YBhg. Dato’ Wan Ali Bin Besar
Timbalan Ketua Setiausaha Pengurusan
YBhg. Dato’ Sri Mustafa Bin Haji Ibrahim
Timbalan Ketua Setiausaha Keselamatan
YBhg. Dato’ Suraini Binti Dato’ Ahmad
Timbalan Ketua Setiausaha Dasar Dan Kawalan
YBrs. Puan Hashimah Binti Nik Jaafar
Setiausaha-Setiausaha Bahagian;
Pegawai-Pegawai dari Kementerian-Kementerian Rintis
BOL@Ministry;
Profiling Expert, Sekretariat
BOL@KDN; dan
Tuan-Tuan, Puan-Puan, Yang Saya Kasihi Sekalian
1.
Terlebih dahulu izinkan saya memanjatkan kesyukuran kerana atas kurniaanNya dapat kita berkumpul pada pagi yang penuh barakah ini demi melaksanakan program yang telah diamanahkan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) kepada Kementerian Dalam Negeri, iaitu program Leadership Fair, Blue Ocean Leadership @ Kementerian Dalam Negeri (
BOL@KDN) ini.
2. Sebagaimana yang dimaklumkan oleh Ketua Sekretariat sebentar tadi, KDN merupakan salah satu Kementerian rintis bagi program Blue Ocean Leadership @ Ministry ini bersama-sama dengan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA), Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) dan Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) mewakili sektor masing-masing.
Hadirin sekalian,
3. Strategi Lautan Biru Nasional atau National Blue Ocean Strategy (NBOS) mungkin sudah biasa kita dengar dan kian difahami dan dipraktiskan dalam pengurusan dan perkhidmatan Kerajaan oleh semua Kementerian dan Agensi. Pendekatan bagi meneroka ruang pasaran baru ini merupakan satu konsep besar dan boleh dimanfaatkan dalam pelbagai tindakan dan keputusan untuk mencapai objektif yang ditetapkan.
4. Akan tetapi, Blue Ocean Leadership atau BOL ini merupakah salah satu inisiatif terbaru yang mengetengahkan elemen kepimpinan dan keterlibatan penjawat awam. Melalui program seperti ini, barisan kepimpinan Kementerian bersama-sama barisan pegawai pelaksana disatukan untuk saling bertukar pendapat dan memberikan pandangan secara terus dan telus. Pada pandangan saya, program ini merupakan platform kepada warga KDN untuk memahami serta menghayati amalan kepimpinan terbaik dalam melaksanakan tugas yang diamanahkan sebagai pemimpin di pelbagai peringkat daripada pelbagai gred dalam organisasi.
Hadirin sekalian,
5. KDN adalah Kementerian yang bertuah saya kira, kerana menjadi antara Kementerian rintis yang pertama bersama-sama empat Kementerian lain yang disebutkan tadi, yang terlibat atau sekurang-kurangnya berpeluang menerokai BOL ini dan memperoleh maklumat awal mengenai sebarang inisiatif baharu dalam menambah baik penyampaian perkhidmatan organisasi kita.
6. Secara tidak langsung, selaku perintis dalam melaksanakan inisiatif Blue Ocean Leadership di peringkat kementerian-kementerian, KDN bersifat selangkah ke hadapan dan sewajarnya peluang ini dimanfaatkan oleh semua warga KDN. Bersikap terbuka, positif dalam menerima pandangan dan optimis kepada cabaran baru yang didepani dalam melaksanakan tugasan.
7. Inisiatif Blue Ocean Leadership ini diperkenalkan bagi memantapkan lagi kepimpinan dan meningkatkan keterlibatan atau engagement warga kerja dalam sesebuah organisasi. BOL merupakan satu pendekatan sistematik bagi memperbaiki amalan kepimpinan sedia ada dan mewujudkan serta memantapkan amalan kepimpinan yang dihasratkan ke arah memaksimumkan bakat dan modal insan dalam usaha meningkatkan prestasi organisasi.
8. Mengambil kira kerangka tersebut, pemimpin di pelbagai barisan iaitu pengurusan atasan, pemimpin pertengahan, pemimpin frontliners; perlu dengan hati yang terbuka, memikirkan, mencerna dan merencanakan bentuk kanvas kepimpinan yang dihasratkan, bagi memantapkan bentuk kepimpinan dua hala (top-bottom) agar misi dan visi organisasi itu kekal menjadi matlamat utama.
Para hadirin sekalian,
9. Selaku perintis, KDN seharusnya bergerak terus ke hadapan demi melaksanakan perubahan dalam kepimpinan dan keterlibatan warga organisasi dalam Kementerian khususnya dan dalam Perkhidmatan Awam secara amnya.
10. Justeru, saya menyeru kepada semua warga KDN agar melibatkan diri secara aktif dalam memberikan pandangan dan cadangan demi memperbaiki dan memantapkan kepimpinan Kementerian Dalam Negeri menerusi pelbagai platform atau forum yang akan dilaksanakan pada masa-masa yang akan datang.
11.
Sekalung tahniah dan syabas kepada Profiling Experts yang terdiri daripada 24 orang pegawai dan 13 orang Sekretariat yang telah dilantik dan bertungkus lumus untuk menjadikan
BOL@KDN ini satu kenyataan. Penghargaan juga saya berikan kepada 96 responden daripada pelbagai peringkat yang telah memberi input serta maklum balas dalam membangunkan profil kepimpinan Kementerian yang telah berjaya dihasilkan.
12. Besarlah harapan saya, agar usaha-usaha yang telah dilaksanakan dalam BOL ini akan dapat memberi satu anjakan kepada KDN dalam menjadi sebuah kementerian dan organisasi yang cemerlang dan membanggakan.
13. Akhir kalam, dengan lafaz Bismillahirahmanirrahim, saya merasmikan Blue Ocean Leadership Fair Kementerian Dalam Negeri 2017.
Sekian.
Wabillahi Taufiq Walhidayah,
Wassalamualaikum Warrahmatullahi Wabarakatuh.