Melaka, 18 April 2014 ÔÇô Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) telah menahan seramai 52 pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam operasi bersepadu 6P di sebuah tapak pembinaan di Melaka Raya yang turut disertai bersama oleh Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar.
Bercakap dalam sidang media selepas menjalankan operasi itu, Datuk Dr. Wan Junaidi meminta anggota penguat kuasa termasuk Imigresen, polis, RELA dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) yang terlibat dalam operasi penahanan PATI agar melaksanakan tugasan mereka dengan berperikemanusiaan supaya tidak timbul persepsi atau cerita buruk tentang Malaysia.
ÔÇ£Kita tidak mahu mereka ini balik membuat cerita yang tidak baik tentang negara kita dan dalam masa sama kita kena pertahankan negara kita, kena jaga undang-undang dan mereka kena hormat undang-undang negara kita kalau mereka nak datang kerja di negara ini,ÔÇØ katanya.
52 warga asing yang ditahan itu terdiri daripada 23 warga Indonesia termasuk 2 wanita, 17 warga India, 11 warga Bangladesh dan seorang warga Pakistan dan rata-ratanya berusia antara 18 hingga 50 tahun.
Kesemua ditahan atas pelbagai kesalahan antaranya tinggal di negara ini setelah pas atau permit tamat tempoh dan disyaki masuk dan tinggal di negara ini tanpa pas atau permit yang sah.
Sementara itu, Wan Junaidi turut memaklumkan statistik terkini penahanan PATI iaitu seramai lebih 10,399 orang melibatkan pelbagai warganegara melalui 1,644 operasi bersepadu yang dijalankan di seluruh negara bermula 21 Januari sehingga tempoh penahanan semalam.
Daripada jumlah itu, Indonesia mencatatkan jumlah tangkapan tertinggi dengan 3,914 orang diikuti Myanmar (1,621), Bangladesh (1,307), Filipina (764), Nepal (552), India (482), Thailand (413), Pakistan (385), Vietnam (276), Kemboja (226), Sri Lanka (130), China (112), Turki (89), Nigeria (71) dan lain-lain (57).
Menurutnya, kesemua operasi itu melibatkan pemeriksaan terhadap 35,757 warga asing dan sehingga tempoh berkenaan, seramai 13,455 pendatang tanpa izin dihantar pulang ke negara masing-masing.
Operasi yang disertai lebih 100 anggota turut melibatkan pelbagai agensi seperti Rela, Polis, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia, Agensi Antidadah Kebangsaan, Jabatan Pendaftaran Negara dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).