Putrajaya, 24 Mei 2014 ÔÇô Seramai 150 orang peserta hadir menjayakan program Bengkel Penyediaan Manual Strategik Bagi Krisis Komunikasi Kementerian Dalam Negeri bertempat di Marina Cruise Putrajaya.
Program kendalian Bahagian Komunikasi Korporat serta mendapat kerjasama daripada Institut Keselamatan Awam Malaysia (IPSOM) dan Bahagian Perancangan Strategik Kementerian Dalam Negeri ini disempurnakan oleh Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
Ahmad Zahid sewaktu membuat rumusan selepas mendengar slot pembentangan mengenai krisis daripada ahli panel jemputan berkata, kementerian haruslah cepat bertindak dan responsif terhadap sesuatu isu supaya ia tidak merebak menjadi isu besar dan sukar untuk ditangani.
Beliau juga meminta supaya warga kerja kementerian haruslah bijak menyelesaikan krisis berdasarkan kefahaman, fakta, etika kerja dan mendapat pakar rujuk yang sebenar.
Ini bagi memberi kepercayaan dan keyakinan kepada masyarakat supaya pihak kementerian mampu menangani sesuatu dengan baik dan cemerlang.
Bengkel ini menampilkan beberapa panel jemputan bagi membincangkan slot-slot tertentu berdasarkan krisis yang timbul seperti kalimah Allah, pemalsuan dokumen MyKad, penyalahgunaan pasport, perhimpunan haram dan kebanjiran pendatang tanpa izin.
Program berakhir dengan sesi perbincangan kumpulan dan pembentukan manual strategik serta penyerahan resolusi bengkel oleh Timbalan Ketua Setiausaha Kanan (Pengurusan) Datuk Daud Tahir kepada Ketua Setiausaha KDN Datuk Seri Mohamad Khalid Shariff.
Hadir sama Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar dan pegawai-pegawai kanan Kementerian Dalam Negeri.