Sintok, Kedah; 17 Sept 2015: Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Universiti Utara Malaysia (UUM) menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) untuk saling berkerjasama dalam bidang penyelidikan saintifik dan empirikal berhubung kerja-kerja pengumpulan data kajian serta input di kalangan pakar dan juga para pengamal keselamatan dan pengurusan sempadan. MoU turut meliputi kerjasama dalam penulisan isu-isu keselamatan dan ketenteraman awam di Malaysia amnya dan Rantau Asia khususnya untuk dimuatkan sebagai kandungan Jurnal of Public Security And Safety terbitan Institute of Public Security of Malaysia (IPSOM), KDN.
YAB Timbalan Perdana Menteri (TPM) merangkap Menteri Dalam Negeri, Dato' Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyaksikan acara menandatangani MoU yang dimeterai oleh Ketua Setiausaha KDN YBhg. Dato' Sri Alwi Haji Ibrahim bersama Naib Cancelor UUM, Profesor Dato' Seri Dr Mohamed Mustafa Ishak. Susulan pada kerjasama tersebut, Seminar Keselamatan dan Pengurusan Sempadan (SKPS) buat kali pertamanya diadakan di UUM pada 17 hingga 19 Sept 2015 khususnya bagi membincangkan isu keselamatan awam dan pengurusan sempadan Malaysia - Thailand. SKPS melibatkan penyertaan Jabatan/Agensi dan Pemimpin Tempatan yang relevan serta pegawai dan pelajar UUM yang kesemuanya berjumlah 2,000 orang.
YAB TPM dalam ucaptama sempena Lawatan Kerja ke UUM menzahirkan harapan agar SKPS yang dilangsungkan secara Perbincangan Meja Bulat (RTD) bakal menjana pendapat baru lagi bernas ke arah penambahbaikkan sistem dan pengurusan sempadan di sepanjang sempadan darat dan maritim Malaysia dengan negara-negara jiran dalam usaha memastikan keselematan negara terpelihara. Sehubungan itu YAB TPM turut menggesa tindakan proaktif diambil bagi tujuan membendung semua kegiatan penyeludupan yang sering berlaku di sempadan supaya pada masa akan datang tidak lagi wujud kesan negatif terhadap sosio-ekonomi negara atau pun ancaman terhadap keselamatan, ketenteraman dan juga keamanan negara.
Kerajaan komited dalam usaha memperkukuhkan keselamatan dan pengurusan sempadan termasuklah menangani aktiviti penyeludupan dan pemerdagangan manusia pendekatan Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) sewajarnya diperkasakan supaya kita tidak hanya berada dalam kepompong sendiri dalam usaha memerangi jenayah di sempadan dan apabila kita berjaya mengekang aktiviti haram maka kerugian besar daripada ketirisan pendapatan yang mengalir keluar dapat dikurangkan
Dato' Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Dalam Negeri 17 Sept 2015
Kesimpulannya jalinan kerjasama menang - menang antara KDN dan UUM dilihat akan membolehkan peranan yang lebih agresif diambil oleh semua pihak yang terlibat meliputi aspek pengurusan dan penguatkuasaan serta kawalan sempadan negara. Dengan bersandarkan gabungan input oleh para pakar serta disokong dengan fakta yang konkrit hasil penemuan kajian yang dilaksanakan secara saintifik membolehkan satu strategi yang ampuh beserta pendekatan yang holistik disediakan. Kesan sampingan pastinyalah adalah pada keupayaan untuk mengubah ranking negara ke tangga yang lebih baik dalam senarai kedudukan global pemerdagangan manusia dan terrorisme oleh agensi antarabangsa.