Kuala Lumpur, 25 Januari 2016: Malaysia menganjurkan Persidangan Antarabangsa Mengenai Deradikalisasi dan Memerangi Ektremisme Keganasan (IDC 2016) bertempat di Hotel Grand Hyatt, Kuala Lumpur. Persidangan anjuran Kementerian Dalam Negeri (KDN) berlangsung selama dua hari pada 25-26 Januari 2016 dirasmikan oleh YAB Dato’ Sri Najib bin Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia.
YAB Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Dalam Negeri selaku hos persidangan mempengerusikan persidangan berkenaan yang dihadiri semua Menteri-Menteri ASEAN dan sembilan (9) Menteri-Menteri negara rakan strategik iaitu Amerika Syarikat, Perancis, Australia, United Kingdom, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Jepun ,China dan Itali dalam menangani ancaman dan kegiatan ekstrimis militan.
Objektif utama persidangan yang julung-julung kali diadakan ini adalah ke arah meningkatkan kerjasama antara agensi keselamatan di seluruh dunia dalam program deradikalisasi. Ketua-Ketua delegasi (HOD) negara peserta turut berkongsi amalan terbaik program deradikalisasi di negara masing-masing khususnya dalam memerangai ideologi ekstrimis militan dan peranan kerajaan dalam memulihkan kembali bekas pengganas ke dalam masyarakat.
Perjalanan IDC 2016 dibahagikan kepada dua (2) sesi utama iaitu sesi Ministerial Statement dan sesi pleno di mana setiap HOD telah menyampaikan ucapan dasar mengenai program deradikalisasi di negara masing-masing. Manakala sesi hari kedua tertumpu kepada pembentangan pengalaman oleh negara-negara, peserta dan juga agensi-agensi tempatan serta pihak NGO.
IDC 2016 melibatkan liputan berita oleh seramai 150 petugas media dari luar dan dalam negara. Ke arah memastikan IDC 2016 berjalan dengan lancar dan maklumat terperinci mengenai negara yang berkenaan dapat disebarluaskan KDN melalui Bahagian Komunikasi Korporat telah mengetuai Jawatankuasa Media dan Promosi dan mewujudkan Pusat Media di lokasi persidangan. Pewujudan Pusat Media telah mendapat pujian kerana telah memudahkan urusan liputan berita khususnya di kalangan petugas media antarabangsa.
Keseluruhanya penganjuran IDC 2016, yang diurusetiakan oleh Bahagian Keselamatan dan ketenteraman awam KDN telah menyerlahkan lagi komitmen Malaysia dalam memerangi dan menghapuskan segala bentuk ancaman seperti oleh kumpulan IS/Daesh yang berpontensi menggugat keselamatan dan ketenteraman awam.