Selamat Datang
Pautan Pantas Maklumat Korporat, Direktori, Perkhidmatan Online, Terkini dan Menu Portal
Selamat Datang
Pautan Pantas Maklumat Korporat, Direktori, Perkhidmatan Online, Terkini dan Menu Portal
LATAR BELAKANG DAN SEJARAH PENUBUHAN ESS ZONE SERTA ESSCOM
Pada 9 Februari 2013, telah mencatatkan episod hitam dalam lipatan sejarah Malaysia apabila masyarakat digemparkan dengan insiden pencerobohan bersenjata (incursion) oleh kumpulan yang menggelar diri mereka sebagai Royal Security Force (RSF) Sultanate of Sulu and North Borneo dan berkhidmat di bawah pihak mengaku sebagai waris (self-proclaimed ‘heirs’) Sultan Sulu dari Selatan Filipina di Kampung Tanduo, Lahad Datu, Sabah. Tujuan gerakan bersenjata rakyat asing tersebut adalah untuk menuntut hak kedaulatan wilayah Sabah yang disifatkan pihak berkenaan sebagai hak diwarisi daripada Kesultanan Sulu.
Pencerobohan tersebut merupakan tamparan hebat khususnya kepada pasukan keselamatan apabila seramai 10 orang dalam kalangan pegawai termasuk anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah gugur masing-masing pada 1 Mac dan 2 Mac 2013 di medan pertempuran (ground zero) sekitar Kampung Tanduo dan Felda Sahabat, Lahad Datu, serta semasa serangan hendap penceroboh atau pengganas dalam kawasan penempatan atas air di Kampung Sri Jaya Simunul, Semporna.
Insiden yang berlangsung selama lebih sebulan itu telah memberi kesan yang negatif bukan sahaja terhadap integriti wilayah, kedaulatan negara, keselamatan nasional dan ketenteraman awam, malah turut menjejaskan kesejahteraan masyarakat yakni dalam aspek merencatkan aktiviti ekonomi dan kehidupan sosial penduduk setempat di pantai Timur Sabah, khasnya selain menimbulkan kesan tidak baik kepada keyakinan pelabur dan pelaburan langsung asing di Malaysia.
Walau bagaimanapun, kepimpinan negara pada ketika itu telah mengambil langkah-langkah sewajarnya bagi memastikan kedaulatan wilayah dan keselamatan terpelihara serta masyarakat dapat hidup dalam keadaan tenteram selain para wira negara turut menunjukkan tahap kepahlawanan dan semangat juang yang tinggi untuk memerangi petualang yang menceroboh bumi Malaysia ini.
Penubuhan Kawasan Keselamatan Khas (SSA) Pantai Timur Sabah dan Pelancaran Operasi DAULAT
Susulan beberapa siri pertempuran di Daerah Lahad Datu dan Semporna serta keengganan penceroboh menyerah kalah dan meletakkan senjata, Operasi DAULAT (Op DAULAT) dan Kawasan Keselamatan Khas (SSA – Special Security Area) telah diisytiharkan pada 7 Mac 2013 yang meliputi 10 buah daerah dalam pantai Timur Sabah iaitu Kudat, Kota Marudu, Pitas, Beluran, Sandakan, Kinabatangan, Lahad Datu, Kunak, Semporna dan Tawau di bawah Ordinan Pemeliharaan Keselamatan Awam 1962 (Sabah).
Op DAULAT telah dilancarkan untuk mendominasi kawasan yang diceroboh musuh bagi memastikan situasi keselamatan terkawal dan kedaulatan negara dipertahankan melalui operasi-operasi ofensif serta tindakan pembersihan (mopping-up) musuh dengan menggunakan aset-aset ketenteraan di udara, laut dan darat yang berhasil menewaskan seramai 63 orang penceroboh sehingga 22 Mac 2023. Di samping itu, seramai 104 orang telah ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA) manakala 241 orang lagi telah ditahan oleh pihak berkuasa Malaysia untuk tindakan selanjutnya.
Pada 25 Mac 2013, Kerajaan telah mengisytiharkan Zon Selamat Sabah Timur atau Eastern Sabah Safety Zone (ESS Zone) yang merangkumi 10 buah daerah di pantai Timur Sabah menggantikan SSA bagi mengekal dan meningkatkan keselamatan serta ketenteraman awam di pantai Timur Sabah termasuk mengembalikan keyakinan rakyat dengan memacu pembangunan dan kesejahteraan penduduk setempat melalui inisiatif/ program melibatkan kerjasama strategik antara Jabatan/ Agensi Kerajaan Persekutuan dan Negeri Sabah.
Selain itu, sebuah Jawatankuasa ESS Zone dipengerusikan oleh Yang Amat Berhormat Ketua Menteri Sabah dan dipantau oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri Malaysia juga telah diwujudkan berdasarkan punca kuasa Peraturan-Peraturan Pemeliharaan Keselamatan Awam 2013. Dalam pada itu, Jawatankuasa ESS Zone akan berperanan sebagai entiti utama yang menyelia pengoperasian keselamatan, dan pengurusan serta rujukan peruntukan undang-undang untuk melaksanakan inisiatif-inisiatif keselamatan dan kesejahteraan masyarakat di 10 buah daerah ESS Zone/ SSA berkenaan.
Penubuhan Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) dan Pelancaran Operasi SANGGAH di ESS Zone
Dengan jaminan keselamatan yang diwujudkan melalui pewartaan ESS Zone, Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) atau Pemerintahan Keselamatan Sabah Timur (ESSCOM) telah ditubuhkan pada 1 April 2013 di bawah Jabatan Perdana Menteri dengan keanggotaannya terdiri daripada gabungan pegawai dan anggota/ staf Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) serta Jabatan Perkhidmatan Awam Persekutuan.
ESSCOM pada awal penubuhannya diketuai oleh Ketua Pengarah dan berfungsi sebagai pusat operasi di Lahad Datu untuk melaksanakan pembersihan saki-baki penceroboh/ pengganas RSF. Antara tanggungjawab utamanya ialah bertindak sebagai ejen penguatkuasaan dan koordinator operasi, pengumpulan maklumat risikan, pengendalian aset-aset keselamatan, pengurusan anggota-anggota keselamatan serta memastikan kawasan daratan dan perairan Sabah selamat daripada ancaman anasir-anasir asing. Serentak dengan penubuhan ESSCOM dan situasi keselamatan yang bertambah stabil serta terkawal, Operasi SANGGAH di bawah ESSCOM telah menggantikan Operasi DAULAT pada 29 Jun 2013.
Seterusnya, bagi membolehkan ESSCOM memainkan peranannya dengan berkesan, satu garis panduan yang dikenali sebagai Arahan Eksekutif No. 1: Jawatankuasa Zon Selamat Pantai Timur Sabah (ESS Zone) yang dibaca bersama Peraturan-Peraturan Pemeliharaan Keselamatan Awam 2013 telah ditandatangani oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri pada 22 Julai 2014.
Arahan Eksekutif No. 1 ini telah disediakan mengikut keperluan dan kesesuaian pentadbiran, chain of command yang dipimpin secara bersama oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) ESSCOM dan Komander Eastern Command (KEC), pengurusan aset dan logistik, undang-undang bagi memastikan operasi keselamatan dan perkongsian maklumat perisikan dengan pihak dari dalam dan luar negara serta aktiviti melonjakkan sosioekonomi dan mengukuhkan keharmonian segenap lapisan masyarakat di kawasan ESS Zone agar dapat dilaksanakan secara berkesan dan efisien dengan mengambil iktibar daripada peristiwa yang berlaku pada tahun 2013.
Pengurusan ESSCOM di bawah Kementerian Dalam Negeri
Kini, ESSCOM telah dipindahkan pengurusannya di bawah Kementerian Dalam Negeri pada 2 Julai 2018 selaras dengan keputusan Jemaah Menteri pada 23 Mei 2018 mengenai rasionalisasi Jabatan dan Agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri. Sejajar perpindahan tersebut, Arahan Eksekutif No. 1 telah disemak semula dan dikemas kini serta ditandatangani oleh Yang Berhormat Menteri Dalam Negeri pada 19 Februari 2024 sebagai Arahan Eksekutif No. 1: Pengoperasian Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) di Zon Selamat Sabah Timur (ESS Zone). Arahan baharu tersebut dibaca bersama Peraturan-Peraturan Pemeliharaan Keselamatan Awam (Pindaan) 2024 [P.U.(A) 70] yang telah diwartakan oleh Jabatan Peguam Negara pada 27 Februari 2024 dengan tarikh dikuatkuasakan mulai 1 Mac 2024.
Melalui arahan ini, maka Jawatankuasa Bersama ESS Zone (JKBE) telah ditubuhkan dan dipengerusikan oleh Yang Berhormat Menteri Dalam Negeri dan Yang Amat Berhormat Ketua Menteri Sabah selaku Pengerusi Bersama serta dianggotai oleh para Pegawai Tertinggi Kerajaan Persekutuan dan Negeri Sabah termasuk Komander ESSCOM dan Ketua Pegawai Eksekutif ESSCOM. Dalam hubungan ini, Mesyuarat JKBE yang pertama telah bersidang pada 27 Julai 2024.
Lembaga Penapis Filem
Lembaga Parol
Lembaga Pencegahan Keganasan
Setia Perkasa 1, 2, 7 & 9, Kompleks Setia Perkasa, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, 62546 Putrajaya |
Tel: 03 8000 8000 Fax : 03-88891613 / 03-88891610 |
pro[at]moha[dot]gov[dot]my |
Dasar Privasi | Dasar keselamatan | Penafian | Bantuan | Soal Selidik | Soalan Lazim | Peta Laman | RSS Feed | Lokasi
Dasar Privasi | Dasar keselamatan | Penafian | Bantuan | Soal Selidik | Soalan Lazim | Peta Laman | RSS Feed | Lokasi